Photobucket

Tuesday, July 27, 2010

Kopitiam diserbu

 
KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebuah kopitiam terkenal di sini, diserbu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Ia terbongkar selepas pasukan penguat kuasa jabatan itu melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf Jakim di Jinjang, Rabu lalu.

Dalam pemeriksaan itu, Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli melibatkan kopitiam berkenaan.

Kopitiam tersebut mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat swasta.

Turut ditemui di pusat penyembelihan itu adalah invois tertulis nama orang Islam dipercayai turut berurusan mendapatkan bekalan ayam daripada syarikat berkenaan.

Berikutan penemuan itu, pasukan sama diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah melakukan pemeriksaan balas di kopitiam tersebut.

Malangnya, invois pembelian ayam yang sepatutnya disimpan tiada di premis berkenaan sebaliknya hanya catatan pembelian dalam sebuah buku log.

Mohd. Amri berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 10.30 pagi, pihaknya gagal mendapatkan bukti mengaitkan kopitiam itu mendapatkan bekalan ayam daripada pusat penyembelihan terbabit.

“Kita telah periksa, tetapi tidak menemui salinan invois sama seperti ditemui di pusat penyembelihan itu.

“Namun ia ditulis dalam buku log yang mencatatkan urusan pembelian ayam dari syarikat penyembelihan itu.

“Oleh itu kita akan meminta syarikat berkenaan supaya membawa semua dokumen berkenaan ke pejabat untuk disiasat selepas ini,” katanya ketika ditemui di kopitiam tersebut di sini hari ini.

Mohd. Amri menambah, logo halal yang tertera di hadapan premis itu didapati bukan daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri sebaliknya sebuah syarikat swasta.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjamu selera di kopitiam atau mana-mana restoran supaya tidak terpedaya dengan logo halal berkenaan kerana tidak diiktiraf.

“Kita akan meneruskan pemeriksaan terhadap kopitiam seperti itu dan ia akan diperhebatkan lagi ketika bulan Ramadan nanti,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap kopitiam tersebut yang dikenali sebagai Karens ketika dihubungi menafikan dakwaan berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA (24 JULAI 2010)

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my