Photobucket

Tuesday, July 20, 2010

Anak saksi bapa ditembak Israel

Laporan Wan Faizal Ismayatim di Gaza, Palestin

KANAK-KANAK memegang poster yang menunjukkan ahli  keluarga  yang dibunuh    askar Zionis  selepas dikurung  dalam sebuah rumah  18 bulan lalu, di Gaza, semalam.
KANAK-KANAK memegang poster yang menunjukkan ahli keluarga yang dibunuh askar Zionis selepas dikurung dalam sebuah rumah 18 bulan lalu, di Gaza, semalam.
Penduduk tidak lupa tragedi kekejaman tentera Zionis bunuh 21 penduduk

GAZA: Penduduk sebuah perkampungan di Zaitun, masih bersedih dan sepanjang hayat tidak akan dapat melupakan tragedi menyayat hati yang berlaku 18 bulan lalu apabila 21 daripada penduduknya, termasuk 10 kanak-kanak mati ditembak beramai-ramai dalam sebuah rumah oleh rejim Zionis.

Abdullah Atiyah Samouni, 10, mungkin belum mengerti erti kehidupan, tetapi kanak-kanak itu masih mengingati kejadian di mana bapanya, Atiyah Samouni, 26, mati di depan matanya ditembak oleh tentera Israel.

Adiknya pula yang berusia empat tahun, Ahmad Samouni, maut dengan empat das tembakan di kepala dan dada dalam rumah penuh sesak itu.

Dalam kejadian pada malam 5 Januari tahun lalu itu, gerombolan tentera Israel yang memasuki kawasan kampung berkenaan dengan puluhan kereta kebal, menceroboh kediaman penduduk, termasuk rumah Abdullah sebelum memanggil bapanya keluar.

Abdullah yang masih mengingati kejadian itu berkata, sebaik bapanya keluar dan mengangkat tangan tanda menyerah, dia ditembak bertalu-talu dan meninggal dunia, manakala dia dan adik-beradik lain diseret ke sebuah rumah dan dikumpul bersama berpuluh-puluh lagi penduduk.

“Sebelum kejadian itu, saya bermain di luar rumah bersama adik dan sepupu, tiba-tiba terdengar tembakan dan kami lari masuk rumah. Tidak lama kemudian, tentera Israel datang dan mahu berjumpa tuan rumah.
“Apabila bapa saya keluar, mereka melepaskan berdas-das tembakan hingga bapa saya mati. Kami pula dibawa dan dikumpulkan dalam sebuah rumah sebelum mereka melepaskan tembakan bertalu-talu dan meletupkan rumah itu,”
katanya yang cedera di kaki dalam kejadian itu ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.

Dalam kejadian itu, 89 penduduk dikumpulkan dalam sebuah rumah sebelum dibedil tentera Israel menyebabkan 21 terbunuh dan 68 lagi cedera parah.

Mereka yang parah, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohamed Wael, yang ditemui di celah-celah mayat anggota keluarganya, diselamatkan anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang tiba di situ tidak lama kemudian.

Penyelia kampung itu, Alhaj Subhi Mohamad Samouni, 55, berkata ketika kejadian itu, beliau merayu kepada tentera Israel supaya melepaskan kanak-kanak yang tidak berdosa tetapi tidak diendahkan.

Selepas semua mangsa dalam rumah berkenaan ditembak dan tentera Israel beredar, beliau segera menghubungi PRCS untuk mendapatkan bantuan kecemasan.