Photobucket

Tuesday, June 29, 2010

Tanggungjawab Menyokong Perniagaan Muslim


Sikap tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiyyah (persaudaraan Islam).
Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain.
Membantu sesama muslim adalah antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh bahu setiap yang beriman dengan ayat Allah (maksudnya)
“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara.”
Surah al-Hujurat ayat 10
Bagi membuktikan persaudaraan Islam yang tulin, baginda Nabi s.a.w. menghuraikan di dalam hadithnya, daripada Abi Musa r.a., sabda Nabi s.a.w.:

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Seperti yang kita maklumi, pembabitan umat Islam di tanahair kita dalam bidang perniagaan masih dalam keadaan yang tidak kukuh. Para peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan.
Agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Ini berlaku disebabkan faktor-faktor tertentu, mungkin salah satunya perkauman.
Di samping itu kedai yang dimiliki oleh umat Islam juga jumlahnya terhad. Demikian juga barangan produk muslim lebih terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli barangan produk umat Islam.
Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Demikian juga keadaan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.
Padahal dalam keadaan sebeginilah setiap umat Islam lebih dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim adalah suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain.

Membeli Produk Muslim Adalah Ibadah?

Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasaraya yang dimiliki oleh orang Islam adalah kewajipan agar tanggungjawab tersebut berjaya disempurnakan. Juga menunaikan tanggungjawab bantu membantu dalam menguatkan umat. Ianya juga menguatkan ekonomi umat.
Sekiranya individu umat memiliki kuasa harta serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam sekaligus akan menjadi kuat. Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith:
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”
di atas, menyebut:
Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain.
Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa.
Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, jld 1, m.s. 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut.
Jika ada peniaga muslim di sesuatu tempat, pembeli muslim yang lain hendak membantunya dengan membeli daripadanya. Janganlah dijadikan perbezaan harga yang sedikit menjadi ukuran. Ini kerana kita tahu, kekuatan ekonomi saudara kita masih lemah dalam menghadapi persaingan. Jadikan akidah dan persaudaraan lebih utama, dan anggaplah membeli daripada saudara kita yang muslim adalah ibadah.
Demikian juga jika ada barangan keluaran muslim, pembeli muslim yang lain hendaklah membeli daripadanya. Jangan jadikan perbezaan rasa dan kualiti yang sedikit, menyebabkan kita menggadaikan persaudaraan kita. Membeli barangan saudara kita yang muslim adalah ibadah. Apatah lagi dalam keadaan kita sedang berusaha membangkit umat yang kebelakang dalam persaingan ekonominya.
Ini semua menunaikan apa yang digesa di dalam hadith yang sahih, sabda Nabi s.a.w:
“Bandingan golongan mukminin di dalam kasih-sayang, simpati dan tolong menolong antara satu sama lain seperti satu jasad. Sekiranya satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota akan berjaga malam dan demam panas”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Aliran Wang Sesama Muslim

Bayangkan kalau semua rumah muslim menggunakan barang keperluan makanan hariannya seperti rempah, sos, kicap, minyak masak dan lain-lain keluaran muslim, betapa kita telah menguatkan ekonomi saudara-saudara kita para peniaga muslim, dan memastikan wang kita sebagai pembeli muslim mengalir kepada saudara kita muslim yang lain.
Tergamakkah kita menggunakan barangan “orang lain” dan meninggalkan barangan saudara muslim kita. Iman yang tulin membantah tindakan ini. Bahkan dalam arus persaingan yang ada, kita sebenarnya mengkhianati saudara kita para peniaga muslim, yang sedang melaksanakan fardu kifayah mengeluarkan barangan tersebut.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Taqwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya.”
Riwayat al-Tirmizi, kata hadith ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih
Ibn ‘Allan (meninggal 1057H) ketika menghuraikan maksud “tidak mengkhianatinya”, berkata:
“mengkhianatinya ialah mengurangkan haknya yang mesti ditunaikan iaitu tolong menolong dan bantu membantu”
Ibn ‘Allan, Dalil al-Falihin, jld. 1, m.s. 17, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut
Hadith-hadith lain begitu banyak yang menunjukkan betapa seorang muslim wajib menolong saudaranya muslim yang lain. Seperti yang disebutkan tadi, suasana persaingan yang ada menuntut untuk semangat ukhuwwah dipertingkatkan.
Malangnya sebahagian kuliah-kuliah hambar di masjid dan surau tidak menekan peri pentingnya hal ini. Sehingga kita menjadi lemah. Pengusaha-pengusaha muslim tidak mendapat sokongan daripada saudara seakidahnya sendiri.
Bayangkan sekiranya setiap kedai makan dan restoran yang dimiliki oleh orang muslim yang tumbuh bagaikan cendawan kebelakangan ini menggunakan produk buatan muslim, betapa kita berjaya menguatkan ekonomi umat membantu antara satu sama lain.
Bayangkan setiap perniagaan muslim mendapat sokongan daripada saudara muslim yang lain. Tentu wang umat akan berkisar sesama umat dan penglibatan muslim dalam bidang perniagaan akan dapat ditingkatkan.
Berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan, nyata membeli barangan muslim dengan niat persaudaraan Islam dan ingin membantunya adalah ibadah. Dalam kata lain, pembeli muslim bukan sahaja memperolehi barang, tetapi dia juga memperolehi pahala. Jika ada sedikit sebanyak kekurangan, dalam suasana lemah dan persaingan yang ada, kita hendaklah menasihati saudara kita penjual muslim dan bersabar.


Akhlak Sebagai Peniaga Muslim

bursa-saham-wanita-muslim Di sudut para peniaga muslim pula, mereka hendaklah mengamalkan akhlak Islam dalam perniagaan. Proses menghidupkan suasana tolong menolong di dalam memajukan perniagaan muslim tidak akan berjaya jika tidak wujudnya kesedaran dari kedua belah pihak.
Perkara yang paling buruk sekali di dalam perniagaan ialah penipuan. Peniaga muslim ketika mengendalikan perniagaan, atau mengeluarkan produknya hendaklah amanah dan sama sekali mengelakkan anasir penipuan di dalam perniagaan.
Para penipu umat tidak termasuk di kalangan umat Nabi s.a.w. dan tidak layak mendapat pertolongan di dalam kalangan masyarakat muslim yang kita idamkan. Dalam hadith riwayat Muslim,
Rasulullah s.a.w. lalu di hadapan selonggok makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangan baginda ke dalamnya. Kemudian di dapati jari baginda lembab. Baginda bertanya: Apa ini wahai tuan punya makanan?. Jawabnya: Ianya terkena hujan, wahai Rasululallah!. Baginda lantas bersabda: “Mengapa engkau tidak letak ianya di atas, sehingga orang boleh lihat?!!. Sesiapa yang menipu kami dia bukan dari kalangan kami“.
Riwayat Muslim
Di dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bagi setiap yang belot (menyalahi janji) ada bendera pada hari kiamat, dikatakan inilah pengkhianat si pulan”.
Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Kata Dr. Muhammad ‘Ali al-Hasyimi:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. begitu keras terhadap penipuan, tipu daya dan pemungkir janji, tidak memadai sekadar mencampak jauh penipu dan pengkhianat janji dari masyarakat muslimin di dunia, bahkan mengistiharkan bahawa setiap pemungkir janji akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan dia membawa bendera penipuan”
Dr. Muhammmad ‘Ali al-Hasyimi, Syakhsiah al-Muslim, m.s. 164, cetakan: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut.
Berbekalkan perasaan takutkan azab Allah pada hari kiamat, para peniaga muslim mengeluarkan produknya, atau mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah dan tanpa sebarang tipu daya. Masyarakat Islam pula berusaha membeli barangan para peniaga saudara muslim mereka yang dijamin kejujurannya.
Para pembeli dalam masyarakat Islam beribadah ketika membeli, sementara para peniaga pula beribadah ketika menguruskan peniagaan dengan jujur dan amanah.
Hasilnya para peniaga muslim mendapat jaminan pasaran daripada saudara-saudara muslim mereka, sementara para pembeli mendapat barangan yang dijamin kejujuran pengurusan dan produknya.
Jaminan ini tidak tertera di atas kertas perjanjian rasmi, tetapi ianya adalah jaminan iman dan taqwa yang melahirkan ukhuwwah islamiyyah atau persaudaraan islam yang melebihi segala persaudaraan dan perjanjian.
Firman Allah:
“Bertolong menolonglah kamu di dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong di dalam dosa dan permusuhan”
Surah al-Maidah, ayat 2

Tingkatkan Kualiti Produk

Di samping itu, perlu diingatkan bahawa para peniaga muslim perlulah memastikan kualiti dalam pengeluaran dan pengurusan. Ini kerana sikap yang amanah sahaja, tanpa kualiti barangan tidak akan dapat memenuhi sasaran.
Al-Quran menyebut:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).”
Surah al-Qasas, ayat 26
Kelayakan mengendali sesuatu urusan mestilah bergabungnya dua faktor:
  1. Amanah,
  2. Kemampuan atau kemahiran.
Sekiranya peniaga muslim menggabungkan di dalam dirinya sikap amanah berserta kualiti perniagaan, maka dia memberikan khidmat yang memuaskan hati umat yang sedang bersiap untuk membantu mereka dengan cara membeli produk-produk yang dikeluarkan. Bersemaraklah suasana tolong menolong di atas dasar taqwa.

Tolong-menolong Dalam Perniagaan

Juga antara ciri tolong-menolong ialah memudahkan pembeli. Sebagai contohnya; adalah mendukacitakan, apabila kita dapati ada kedai runcit muslim yang sebahagian barangan penting yang menjadi keperluan tidak dijual di dalamnya.Untungnya tidak seberapa” atau “untungnya tipis”. Tidakkah dia berfikir sekiranya dia menyediakan barangan tersebut dia telah memudahkan pembeli yang datang ke kedainya, supaya mereka tidak perlu ke kedai lain lagi.
Dalam masa yang sama ianya adalah tarikan kepada pembeli dan memudahkan urusan mereka. Memudahkan urusan orang lain adalah ibadah, dan juga membawa faedah kepada perniagaan. Perkara seperti ini sepatutnya difahami dengan baik oleh peniaga muslim.
Dalam hadith Nabi s.a.w. bersabda:
“..Engkau menolong orang lain mengangkat barang ke atas kenderaannya adalah sedekah”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Tentulah peniaga yang menolong pembeli memudah kerja pembelinya adalah sedekah. Demikian dia berniaga dan beribadah.
Hendaklah kita semua meniru apa yang dilakukan oleh kaum al-’Asy’ariyin (kaum Abu Musa al-’Asy’ari) yang sentiasa tolong menolong antara mereka.
Rasulullah s.a.w. memuji mereka, sabda baginda:
“Sesungguhnya kaum al-’Asy’ariyin apabila keluar berperang, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.
Hadith ini memperlihatkan betapa sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama sendiri dalam keadaan terdesak sangat dituntut. Demikianlah membeli barangan muslim dalam keadaan kekuatan ekonomi tidak berada di tangan umat adalah lebih dituntut.
Ini bukanlah menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada puak. Nabi s.a.w. dalam hadith di atas memuji kaum al-’As’ariyin yang sentiasa tolong menolong sesama sendiri dan tidak menganggap itu sebagai sikap berpuak yang dicemuh. Sebaliknya baginda memuji mereka.
Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas:
Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi ‘asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-’As’ariyin sebahagian daripada baginda.
Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.
Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa’id ‘ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut.

Peranan Muslim Samada Peniaga atau Pengguna

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi umat, sehingga kita mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Umat wajib terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain.
Setiap individu muslim hanya ada dua pilihan di hadapannya, samada dia menjadi pengeluar barangan atau pembeli barang keluaran saudara muslimnya yang lain.
Mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah islamiyyah.
Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan:
“Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya…
sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian- selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan.
Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat.
Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain..”
Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-’Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, cetakan: Maktab al-Sunnah, Kaherah.
Marilah kita mengambil pengajaran daripada apa yang disebut oleh Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi ini agar kita bersegera membaiki diri dan kekuatan umat.
Umat Islam di tanahair kita jumlahnya banyak, kita memiliki kuasa membeli yang tinggi, malangnya kita tidak tahu bagaimana mengalirkannya dengan tepat.
Sumber : Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin – www.al-ahkam.net