Photobucket

Tuesday, January 19, 2010

Pengertian Halal, Haram dan Syubhah

[Dipetik daripada Kertas Projek Mohamad Hasbullah Salim (2008), Analisis Hadith al-Shubhah Dalam al-Kutub al-Sittah, [Seliaan: Prof. Madya Dr Ishak Suliaman]

1.0 Pengertian Halal, Haram dan Syubhah

1.1 Halal

Ibn Battal menyatakan bahawa halal adalah apa yang dinaskan oleh Allah s.w.t tentang kehalalannya maka ia adalah halal yang jelas.[1] Ianya boleh didefinisikan sebagai perkara yang diperbolehkan, atau mubaah, yang telah gugur daripadanya ikatan atau simpulan bahaya, dan syariat membenarkan perbuatannya. Berdasarkan pandangan ilmu usul al-Fiqh, halal juga disebut sebagai mubah, ibahah dan jaiz iaitu perkara yang diberi pahala apabila melakukannya dan tidak ada apa-apa dosa jika meninggalkannya. Antara lain adalah khitab Allah yang membolehkan membuat pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya.[2]

Sesuatu perkara yang dinaskan di dalam al-Quran dan al-Hadith, dapat diketahui keharusannya melalui lafaz al-Amr atau suruhan yang membawa faedah harus berdasarkan qarinah yang mengubah daripada wajib kepada harus[3], lafaz halal[4], lafaz mengangkat junah} [5](رفع الجناح), lafaz mengangkat ithm [6]( رفع الإثم ) dan lafaz mengangkat al-Haraj ( الحرج )[7] .

1.2 Haram

Ibn Battal menyatakan bahawa apa yang dinaskan oleh Allah s.w.t tentang keharamannya maka ia adalah haram yang jelas.[8] Ianya boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang dilarang oleh syariat melakukannya dengan larangan yang pasti, yakni tidak boleh berubah, sehingga mendedahkan sesiapa yang melanggar larangan itu kepada siksa Allah s.w.t. di hari akhirat, dan ada kalanya boleh menyebabkan dia menerima siksa yang ditetapkan oleh syariat juga di dunia. Menurut ilmu usul al-Fiqh pula, haram ialah khittab Allah yang menuntut supaya meninggalkan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti iaitu suatu perbuatan yang diberi pahala apabila menjauhinya dan berdosa serta mendapat seksa jika dilakukan. [9]

Sesuatu perkara yang dinaskan di dalam al-Quran dan al-Hadith, dapat diketahui keharamannya melalui lafaz haram[10], lafaz nafi halal[11], lafaz tegah atau nafi@ [12](صيغة النفي) , lafaz suruhan supaya menjauhi dan meninggalkan[13] dan menjelaskan sesuatu perbuatan itu mengandungi dosa.[14]

Dr Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya Halal wa al-Haram fi al-Islam telah menyatakan 11 prinsip-prinsip ajaran Islam tentang halal dan haram:
1. Asal tiap-tiap sesuatu adalah mubah (membolehkan)
2. Menentukan halal haram semata-mata hak Allah
3. Mengharamkan yang halal dan sebaliknya sama dengan syirik
4. Mengharamkan yang halal akan mengakibatkan timbulnya bahaya
5. Setiap yang halal tidak memerlukan yang haram
6. Apa saja yang membawa kepada haram adalah haram
7. Bersiasat terhadap hal yang haram, hukumnya adalah haram
8. Niat baik tidak dapat melepaskan yang haram
9. Menjauhkan diri dari syubhat kerana takut terlibat dalam haram
10. Sesuatu yang haram berlaku untuk semua orang
11. Keadaan terpaksa (darurat) membolehkan yang terlarang

1.3 Syubhah.

Di dalam bahagian ini, penulis akan membincang 2 aspek berkaitan syubhah iaitu lafaz-lafaz syubhah di dalam hadith dan pendapat ulama' berhubung tafsiran syubhah.

1.3.1 Lafaz-lafaz Syubhah

Al-‘Ayni[15]@ di dalam kitabnya, ‘Umdah al-Qari ada menyatakan tentang perbezaan lafaz Mushabbahat. Beliau menyatakan bahawa lafaz ini mempunyai 5 riwayat seperti berikut[16]:

Mushtabihat – مُشْتَبِهَاتٌ - atas wazan (timbangan) Mufta’alat ( مفتعلات ). Iaitu kemusykilan dalam beberapa perkara bagi apa yang terdapat dalam zatnya yang menyerupai 2 pihak yang berlainan. Kadang-kadang ianya menyerupai satu pihak dan kadang-kadang pihak yang lain.
Mutashabbihat – مُتَشَبِّهَاتٌ – atas wazan mutafa’ilat ( متقعِّلات ) seperti dalam riwayat al-Tabari. Maknanya seperti yang pertama tetapi ianya mengandungi makna takalluf (menanggung)
Mushabbahat- مُشَبَّهَاتٌ - atas binaan maf’ul (yang kena buat)- (مشبَّهات ) daripada wazan tashbih (تشبيه) . Ianya adalah riwayat al-Samarqandi dan satu daripada riwayat Muslim. Maknanya ianya diserupakan dengan yang lainnya daripada apa yang tidak diyakini dan ditentukan hukumnya. Dan dikatakan juga maknanya adalah apa yang diserupakan dengan halal.
Mushabbihat- مُشَبِّهَاتٌ - atas binaan fa’il (yang membuat) – (فاعل) daripada wazan tashbih (تشبيه). Maknanya menyerupakan dirinya dengan yang halal.
Mushbihat- مُشْبِهَاتٌ - atas binaan fa’il (yang membuat) atas wazan Ishbah (الاشباه) Maknanya seperti yang keempat.

1.3.1.2. Pendapat ulama’ berhubung Tafsiran Syubhah

Dalam memberikan tafsiran berhubung syubhah, Muh}ammad Taqi al-Uthmani dalam kitabnya Takmilah Fath al-Mulhim, Bi Sharh Sahih Muslim , membawakan 4 kesimpulan pendapat ulama’ mengenainya:

Pendapat Pertama:
Al-Khattabi[17] di dalam kitabnya Ma’a>lim al-Sunan berpendapat: “Sabda Nabi s.a.w : وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ (Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah) adalah bermaksud perkara tersebut meragukan kepada sebahagian manusia dan tidak pada sebahagian yang lain. Ianya tidaklah dihukumkan syubhah (meragukan) pada zat perkara tersebut kerana tidak disebutkan dengan jelas di dalam hukum syariat. Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan sesuatu hukum pun terhadap sesuatu perkara melainkan telah diterangkan dengan jelas dan diberikan dalil ke atasnya. Tetapi penjelasan tentang sesuatu perkara boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

Pertama : Bayan Jaliy ( بيان جلي ) iaitu ianya diketahui oleh kebanyakan manusia secara keseluruhannya.

Kedua : Bayan Khafiy ( بيان خفي ) iaitu tidak diketahui melainkan mereka yang pakar dan mahir dari kalangan ulama’, yang mana mereka ini sangat mendalami dan meneliti ilmu usul, mengetahui maksud nas-nas dengan tepat, mengetahui cara-cara melakukan qiyas} dan istinbat hukum dan membawa sesuatu perkara kepada hujah dan perbandingan.

Beliau berkata lagi: “Dalil kepada kebenaran apa yang kami perkatakan iaitu perkara tersebut tidaklah dihukumkan syubhah (meragukan) pada zat perkara tersebut adalah sabda Nabi s.a.w : لَا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ (tidak diketahui perkara tersebut oleh kebanyakan manusia). Secara logiknya ia bermakna sebahagian manusia mengetahuinya sekalipun dalam bilangan yang sedikit kerana mereka mengetahuinya. Maka difahami bahawa tidak berlaku syubhah dan kesamaran pada zat perkara tersebut secara total. Tetapi wajib bagi seseorang yang merasa ragu terhadap sesuatu perkara untuk mendiamkan diri dan membebaskan dirinya daripada syak. Dan tidak mendahului (untuk melakukannya) melainkan dengan dalil-dalil. Ini kerana apabila dia melakukan sesuatu perkara sebelum mensabitkan dan menentukan hukum sesuatu perkara tersebut, maka ia tidak akan aman daripada meletakkan dirinya ke dalam perkara yang haram. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘hima’ (kawasan larangan). Dan ianya telah dijelaskan melalui perumpamaan dalam hadith tersebut.”[18]

Senada dengan apa yang disebut oleh al-Khattabi ialah Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam Fath al-Bari, al-Nawawi di dalam al-Minhaj dan al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwadhi. Mereka menyatakan bahawa kalimah kathir ( كثير ) menunjukkan kemungkinan ada yang mengetahui hukum perkara tersebut tetapi jumlahnya adalah sedikit. Mereka adalah golongan mujtahid. Maka perkara syubhah ini berlaku kepada golongan awam dimana tidak nyata pentarjihan di antara dua dalil yang mereka temui (samada halal atau haram).[19]

Kesimpulan daripada apa yang diperkatakan oleh al-Khattabi tadi adalah sesuatu perkara itu dihukum syubhah berdasarkan sandaran yang dibuat ke atasnya (mushtabihah idafi - مشتبهة إضافي) iaitu perkara yang samar dinisbahkan kepada mereka yang tidak mengetahui hukum perkara tersebut. Yang dimaksudkan dengan sesiapa yang berwaspada daripada perkara syubhah adalah dia tidak melakukan perkara tersebut melainkan dengan hujah dan dalil. Jika telah mendapati dan jelas hukumnya maka ia bolehlah berpegang dengan hukum tersebut (sama ada halal atau haram).[20]

Pendapat kedua:
Yang dikehendaki dengan makna syubhah di sini adalah apa yang bertembung dan diperselisih hukumnya antara halal dan haram. Jika seseorang mujtahid itu mentarjihkan sesuatu perkara dengan hukum halal dengan mengeluarkan ijtihadnya berdasarkan dalil-dalil yang dibawakan, maka hukum halal terhadap perkara tersebut adalah mushtabihah atau syubhah. Maka sifat wara’ menyebabkan dia tidak melakukan perkara tersebut kerana ada kemungkinan ianya tersalah dalam ijtihadnya. Perkara ini seperti yang diisyaratkan oleh al-Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa: “Jika seseorang itu merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara sama ada halal atau haram dan tidak ada nas dan Ijma’ ulama terhadap perkara tersebut, maka para mujtahid pun berijtihad dalam perkara tersebut. Maka perkara tersebut akan dikaitkan dengan halal atau haram berdasarkan dalil-dalil syar’i. Maka jadilah perkara tersebut halal atau haram. Dan jadilah perkara tersebut tidak sunyi daripada ijtihad. Maka sifat wara’ adalah dengan meninggalkannya.”[21]

Maka kesimpulannya adalah syubhah merupakan perkara ijtihad[22] (al-Umur al-Ijtihadiyyah) yang mana tidak ada padanya nas dan dalil yang jelas. Maksud sesiapa yang berwaspada daripada syubhah adalah mereka yang mengambil sifat wara’ dan berhati-hati di atas jalan taqwa bukan di atas jalan fatwa.[23]

Pendapat Ketiga:
Diriwayatkan oleh al-‘Ayni daripada Al-Ma’dhiri dan selain daripadanya bahawa yang dikehendaki dengan perkara syubhah ialah perkara-perkara yang makruh. Dan maksud daripada hadith tersebut ialah suruhan untuk meninggalkannya. Kebanyakan manusia tidak memperdulikan perkara tersebut dengan melakukannya kerana menganggap bahawa ianya tidaklah haram. Hadith tersebut menjelaskan bahawa perbuatan mereka itu akan membawa kepada mengerjakan perbuatan haram.[24]

Pendapat Keempat:
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa maksud syubhah di sini adalah perkara-perkara yang harus yang dihiasi dengan sifat tawarru’ kepadanya. Oleh kerana itu, Nabi s.a.w, para khulafa’ selepasnya dan para sahabat Nabi s.a.w bersifat zuhud dalam perkara syubhah. Mereka menolak untuk bermewah-mewah dengan makanan, pakaian, kediaman dan mereka hidup dengan apa yang sebaliknya seperti mana yang kita ketahui daripada riwayat hidup mereka.[25]

Rujukan :

[1] Abu Al-H{asan 'Ali@ bin Khalaf bin 'Abd al-Malik, dikenali sebagai Ibn Bat}t}a>l, selepas ini disebut Ibn Bat}t}a>l, (t.t) Sharh} S{ah}i@h} al-Bukha>ri@ li Ib Bat}t}a>l, Riyadh: Maktabah al-Rushd, j. 6, h. 192.
[2] Wahbah al-Zuhayli@, Dr. (1986), Us}u>l al-Fiqh al-Isla>mi@, Dimashq: Da>r al-Fikr, c. 1, h. 87.
[3] Contoh lafaz al-Amr : وَكُلُوا وَاشْرَبُوا - dan makanlah dan minumlah kamu – (Surah al-A'ra>f 7: 31)
[4] Contoh lafaz halal : أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ – Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa bersetubuh dengan isteri-isteri kamu. (Surah al-Baqarah 2: 187)
[5] Contoh lafaz mengangkat juna>h} : لَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً – Tidaklah kamu bersalah (tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin bagi mereka- (Surah al-Baqarah 2: 236)
[6] Contoh lafaz mengangkat ithm : فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ – (Kemudian siapa yang bersegera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa, dan siapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidak berdosa. (Surah al-Baqarah 2: 203)
[7] Contoh lafaz mengangkat al-H{araj : لَيْسَ عَلَى الْأَعْمَى حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ – Tidak ada salah bagi orang yang buta dan tidak ada salah bagi orang yang tempang- (surah al-Nu>r 24: 61)
[8] Ibn Bat}t}a>l (t.t), op.cit.
[9] Wahbah al-Zuhayli@, Dr. (1986), op. cit. h. 80.
[10] Contoh lafaz haram : حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ - Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan berikut) : ibu-ibu kamu...- (Surah al-Nisa>' 4:23)
[11] Contoh lafaz nafi halal : وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا – Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri kamu yang diceraikan itu) - (Surah al-Baqarah 2: 229)
[12] Contoh lafaz tegah atau nafi : وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ – Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman, maka (kalau kamu berlaku demikian) , api neraka akan membakar kamu.- (Surah Hu>d 11: 113)
[13] Contoh suruhan supaya menjauhi dan meninggalkan : فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ - Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala serta jauhilah perkataan yang kotor.- (Surah al-H{ajj 22,30)
[14] Contoh menjelaskan sesuatu perbuatan itu mengandungi dosa : فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ - Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya , maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang yang mengubahnya.- (Surah al-Baqarah 2:181)
[15] Beliau adalah Badr al-Di@n Abi@ Muh}ammad Mah}mu>d bin Ah}mad al-'Ayni@. Meninggalkan pada tahun 855 H.
[16] Badr al-Di@n Abi@ Muh}ammad bin Ah}mad al-‘Ayni, selepas ini disebut al-'Ayni (t.t), ‘Umdah al-Qa>ri@ Sharh} S{ah}i@h} al-Bukha>ri@, Beirut: Da>r al-Fikr, j.1, h. 295, Lihat juga; Muh}ammad Taqi@ al-Uthma>ni,(t.t) Takmilah Fath} al-Mulhim, Bi Sharh} S{ah}i@h} Muslim bin al-Hallaj al-Qushayri@, Karachi: Maktabah Da>r al-‘Ulu>m, Jilid 1, h. 620
[17] Beliau adalah Abu> Sulayma>n H{amd bin Muh}ammad al-Khat}t}a>bi@ al-Busti@
[18] Muh}ammad Taqi@ al-Uthma>ni,(t.t) op. cit. h. 622; al-Khattabi, al-Ima>m Abu> Sulayma>n H}amd bin Muh}ammad al-Khat}t}a>bi@ al-Busti@, ( 1932), Ma’a>lim al-Sunan, Maktabah al-‘Alamiyah, Jilid 3, h.56-57.
[19] Ibn Hajar al-'Asqalani, (2000), op. cit. h. 168, Lihat juga, al-Mubarakfuri(1990), op. cit. h. 331.
[20] Muhammad Taqi al-Uthmani,(t.t), op.cit.
[21] Ibid. h. 622-623. Lihat juga al-Nawawi (1995), Al-Minhaj Sharh Sahih} Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Da>r al-Ma'rifah, c. 2, j. 11, h. 29-30.
[22] Ijtihad (اجتهاد )menurut bahasa berasal daripada kata dasar ijtahada (اجتهد ) bererti: Menggunakan sepenuh tenaga dan bersungguh-sungguh terhadap sesuatu. Menurut pengertian istilah, ianya membawa beberapa maksud, antaranya;
Menurut Ibn al-Hajib al-Maliki, ijtihad bermaksud ulama' fiqh mencurahkan sepenuh kemampuan untuk mengeluarkan hukum syarak yang zanni@.
Menurut al-Imam al-Ghazali, ijtihad ialah mujtahid mencurahkan penuh kesungguhannya untuk mencari ilmu berkaitan hukum syariat.
Menurut jumhur ulama' Usul al-Ahkam, ijtihad ialah mencurahkan tenaga sebanyak mungkin untuk mendapatkan hukum syarak berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil syarak.

Kesimpulannya ijtihad ialah ahli fiqh mencurahkan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil terperinci daripada dalil-dalil syarak. Lapangan ijtihad mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas tentang hukumnya.
[23] Muh}ammad Taqi al-Uthmani,(t.t) op.cit. h. 623.
[24] Ibid.
[25] Ibid.

Sumber..Blog Prof Madya Dr Ishak Sulaiman, http://drishak69.blogspot.com